Mahfuzah (kiri) menerangkan peranan CFM kepada seorang pengguna ketika menjalankan kempen memperkenalkan agensi itu kepada umum.
KUALA TERENGGANU – Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menerima 3,631 aduan berkaitan perkhidmatan komunikasi dan multimedia pada tahun lalu, bertambah sebanyak 2,340 berbanding tahun sebelumnya.
Pengerusi CFM, Mahfuzah Azahari berkata, daripada jumlah itu, aduan melibatkan perkhidmatan bil dan caj adalah kes paling banyak yang diterima, diikuti perkhidmatan kurang memuaskan dan kualiti liputan tidak baik.
Menurutnya, peningkatan aduan itu adalah disebabkan tahap kesedaran pengguna makin bertambah berikutan kempen yang dijalankan CFM, selain pengguna lebih arif mengenai perkhidmatan dan caj dikenakan syarikat telekomunikasi.
“Bagi suku pertama tahun ini pula, kita telah terima 547 aduan berkaitan bil dan caj, 458 aduan bagi perkhidmatan kurang memuaskan dan 183 bagi kualiti liputan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Mahfuzah berkata, ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), CFM berperanan sebagai satu saluran kepada pengguna membuat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia.
Katanya, CFM akan memberi perlindungan kepada pengguna penyediaan saluran tambahan untuk aduan susulan, mengendalikan pertikaian dan rungutan yang tidak dapat diselesaikan oleh pengguna serta pemberi perkhidmatan.
“Kami menjalankan tanggungjawab sebagai pengantara untuk mendapatkan penyelesaian antara pembekal perkhidmatan dan pengguna.
“Kami turut memberi nasihat dan pendidikan kepada pengguna, menjalankan promosi mengenai hak pengguna dan membangunkan kod-kod bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah pada tahap memuaskan,” katanya.
Menurut beliau, mana-mana pengguna yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia dinasihatkan berjumpa dengan pembekal perkhidmatan terlebih dahulu bagi mencari jalan penyelesaian.
“Jika tidak berhasil, mereka boleh adukan kepada kita dengan melayari www.complaint.cfm.org.my, emelkan kepada complaint@cfm.org.my atau hubungi talian 1800-18-2222 dan kami akan membantu menyelesaikannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment